Selebriti, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad (kiri) bersalaman dan memaafkan pengguna sosial media, Zulhairi Abu Otrhman yang membuat tuduhan berkenaan kematian arwah Siti Sarah dengan agenda Freemason di Bubbletea Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Pelawak dan usahawan, Shuib hari ini  memaafkan Zulhairi Abu Othman yang berkongsi menyebarkan fitnah di media sosial mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dengan Freemason.

Penyampai radio itu berkata, sifat berbudi bahasa dan keikhlasan Zulhari membuatkan hatinya terbuka menerima permohonan maaf yang diadakan secara berdepan pada sidang media di sini hari ini.

“Saya sebenarnya terpanggil untuk berjumpa dengan dia (Zuhairi), salah seorang yang membuat tuduhan terhadap arwah isteri saya kononnya dipaksa ditidurkan dengan menganggap seolah-olah saya yang ‘membunuhnya’.

“Bagi saya, benda ini teruk sangat untuk saya dan keluarga saya sebab melibatkan arwah isteri. Sebagai seorang ayah dan suami, bagaimana perasaan anak-anak bila mereka membaca termasuklah bapa mentua saya, Raisuddin Hamzah.

“Kalau mereka nak dakwa saya ahli Freemason boleh lagi, bagi saya bodoh sangat tuduhan itu walaupun tidak betul tapi bila melibatkan kematian orang yang saya amat cintai, itu sangat melampau.

“Dalam masa sama, tuduhan yang mereka buat ini juga boleh mendatangkan kekeliruan, masa kejadian itu sayalah orang yang hantar arwah ke hospital sehingga menjadi individu terakhir menatap wajah arwah sebelum ditutup dengan plastik pembungkus mayat,” katanya dalam nada penuh emosi.

Selebriti, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad (kiri) bercakap pada sidang media bersama pengguna sosial media, Zulhairi Abu Othman yang membuat tuduhan kematian arwah Siti Sarah dengan agenda Freemason di Bubbletea Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2023.

Terdahulu, Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, kelihatan sedikit emosi dengan isu tersebut namun  kembali tenang setelah sikap Zuhairi yang hadir secara beradab membuat permohonan maaf.

Pengguna sosial media, Zulhairi Abu Othman yang membuat tuduhan berkenaan kematian arwah Siti Sarah dengan agenda Freemason bercakap kepada media di Bubbletea Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2023.

Sementara itu, Zulhairi, 35, merupakan pekerja swasta mengakui dia terkhilaf dan terlalu mengikut emosi dalam membuat hantaran fitnah di media sosial.

“Hantaran ini sebenarnya saya share ke Facebook dengan ayat-ayat yang kejam itu pasal Freemason semua, daripada salah seorang netizen yang komen dekat ruangan komen itu, salah seorangnya daripada Ejaharmiza.

“Saya kongsi bukti dan copy paste dekat saya punya timeline. Silap besarnya dalam hal ini, saya tidak kredit nama orang itu jadi secara tak lansung nampak saya yang menulis stand itu.

“Saya nak minta maaf benda yag saya share ini terlalu mengikut emosi dan tidak teliti ayat itu sampai ikut orang dan tidak fikirkan perasaan dan keadaan pada mangsa seperti abang (Shuib) dan keluarga,” ujarnya.

Semalam, Shuib menegaskan, dia nekad mencari individu terbabit sampai ke ‘lubang cacing’ demi mendapatkan keadilan dan tidak sampai 24 jam sudah mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Menerusi entri tular itu, individu tersebut mendakwa Shuib adalah salah seorang ahli organisasi Freemason serta mengaitkan kematian Siti Sarah dengan agenda vaksin Covid-19.

Tulis individu itu lagi, Freemason menggunakan artis di negara ini untuk mempromosi kebaikan vaksin selain menyatakan Shuib – sebagai salah seorang ahlinya – tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.

Kenyataan invidividu itu dibuat berdasarkan sekeping foto Shuib bersama isteri baharunya, Watie dengan menutup sebelah mata masing-masing sepertinya sinonim dengan organisasi rahsia tersebut.

Perbuatan itu dipercayai kononnya sebahagian daripada dakyah pertubuhan tersebut namun gambar pasangan itu diambil untuk iklan untuk sebuah kedai barangan kemas. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Shuib nak saman netizen kait kematian Siti Sarah dengan Freemason