Shahrizat
Kartini Aboo Talib

KUALA LUMPUR – UMNO bakal berdepan laluan sukar untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, sekali gus menjadi beban kepada Pakatan Harapan (PH), kata Prof. Dr. Kartini Aboo Talib.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, UMNO Barisan Nasional (BN) yang mendapat 45 peratus daripada 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka kalah banyak kerusi.

Ramalan itu sekali gus menyebabkan PH gagal untuk menawan dua negeri pembangkang, selain sukar kukuh di tiga negeri di bawah pemerintahan PH.

“Faktor penolakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula masih kuat dalam kalangan semua bangsa terutama Melayu, akan menyebabkan UMNO dan BN terus ditolak oleh pengundi atas pagar.

“Ditambah pula dengan suasana ekonomi suram dan gagalnya kerajaan untuk melaksanakan reformasi, UMNO dan BN tidak mampu menjana kekuatan kepada PH untuk mendepani enam PRN akan datang,” katanya dalam satu kenyataan sini hari ini.

Kenyataan Kartini itu merujuk kepada kenyataan Ahmad Zahid baru-baru ini mengumumkan BN akan bertanding di lebih 100 DUN dalam 6 PRN akan datang manakala selebihnya oleh PH.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat, berdasarkan kedudukan semasa kerusi yang dimenangi oleh BN dan PH, pada pilihan raya umum yang lepas.

“Ini berdasarkan kepada kerusi (DUN) yang sedia ada, yang dimenangi oleh PH… Sebab itu peratus lebih kepada parti komponen dalam PH.

“Kita akan umum statistik (sebenar) apabila keputusan terakhir dimuktamadkan,” kata Ahmad Zahid di Chukai pada Sabtu lalu.

BN telah ditolak oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana rakyat tidak dapat menerima Ahmad  Zahid yang berdepan 47 pertuduhan rasuah dengan mengundi PN sebagai alternatif parti Melayu.

Untuk rekod, PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36). – MalaysiaGazette