KUALA LUMPUR – Mungkin Anthony Loke telah terlupa DAP merupakan salah satu daripada pihak yang memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri satu ketika dahulu.
Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP itu yang mendakwa DAP tidak pernah menarik sokongan kepada Dr. Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri pasca PRU-14.
“Pada tarikh 10 Mei 2019, Veteran DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan di dalam pentas ceramah Pilihan Raya Kecil Sandakan bahawa beliau sendiri akan meletakkan jawatan sekiranya Dr. Mahathir tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim dengan segera.
“Ini adalah antara bukti utama yang memperlihatkan niat sebenar DAP yang sememangnya tidak ikhlas di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas kemenangan besar gabungan parti itu pada tahun 2018,” kata bekas Ahli Parlimen Ampang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kenyataan daripada pemimpin DAP paling berpengaruh pada ketika itu telah menyebabkan banyak pihak di dalam gabungan PH merasa tidak selesa dan mula mempertikaikan niat sebenar DAP.
“Sekiranya tekanan tidak diberikan kepada Tun Dr. Mahathir pada ketika itu, sudah tentu tidak akan meletakkan jawatan atau mempunyai perancangan untuk berbuat demikian.
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan Anthony Loke dan juga pemimpin DAP yang lain untuk tidak bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’ dalam hal berkaitan peletakkan jawatan Dr. Mahathir setelah 22 bulan memerintah negara,” ujarnya.
Sikap DAP yang tidak ikhlas dalam menyokong pentadbiran Dr. Mahathir pada ketika itu secara langsung turut menyumbang kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 pada ketika itu, katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dr Mahathir lupa beliau pernah disokong oleh 42 Ahli Parlimen DAP – Loke