Jais Abdul Karim SPRM kad pengenalan MCW peguam negara kebocoran data peribadi
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan kad pengenalan baharu dengan ciri-ciri keselamatan terkini bagi menggantikan MyKad.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, langkah itu berupaya mempertingkatkan kecekapan sistem pengurusan data di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sekali gus mengurangkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Kad pengenalan sedia ada telah digunakan hampir 15 tahun dan mudah diceroboh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung kewujudan unsur salah guna kuasa di JPN yang mana bayaran tertentu dikenakan dalam proses mendapatkan sijil warganegara.

Selain itu, Jais menyarankan supaya kakitangan JPN diberi latihan etika dan kesedaran mengenai tanggungjawab mereka serta kepentingan integriti dalam perkhidmatan awam.

Beliau menambah, sistem pengurusan yang kukuh dan prosedur ketelusan yang jelas perlu dikuatkuasakan dalam JPN.

“Ini termasuk pemeriksaan dalaman, audit dan penilaian prestasi bagi memastikan tindakan rasuah dan salah guna kuasa dapat dikesan dan diambil tindakan segera,” jelasnya.

Jais berkata, saluran aduan yang selamat dan boleh dipercayai perlu diwujudkan bagi membolehkan kakitangan JPN dan orang awam melaporkan penyelewengan dan rasuah.

Beliau berpandangan, perlindungan pelapor yang sewajarnya perlu diberikan untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada sebarang gangguan atau tindakan balas negatif.

Jais memberitahu, hukuman yang tegas juga perlu dikenakan terhadap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa serta memastikan usaha tersebut dijalankan secara adil.

“Penegakan undang-undang haruslah telus, adil dan bebas daripada campur tangan politik,” katanya.

Beliau berkata, JPN juga seharusnya membina budaya integriti yang kukuh dalam kalangan kakitangannya melalui kempen komunikasi, pendidikan moral dan etika serta teladan daripada pengurusannya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bagus juga cadangan ini, ianya juga dapat merungkai dakwaan 1.2 juta pelancung asing yang masuk kenegara ini dan tidak keluar2?

    Sessi temuduga pendek juga perlu diadakan dalam bahasa Melayu. Hanya yang fasih berbahasa Melayu sahaja yang akan diberikan kad pengenalan baharu.

    • Faham-fahamlah mesin cetak ringgit pun Made in China, inikan pula MyKad dengan kononnya ciri-ciri keselamatan lurus bendul politikus Pak Pandir istimewa ooii!

  2. ciri keselamatan yg telah ada sememangnya telah mencukupi tetapi petugas dan kakitangan yg bertanggung jawab tidak berintergriti dan tidak amanah termasuk penyeliaan yg lemah dan ketidak tegasan hukuman menyebabkan seluruh sistem lumpuh.

Comments are closed.