Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Harga pasaran beras dalam negara adalah stabil memandangkan harga jualan bagi 70 peratus bekalan beras tempatan dikawal kerajaan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanana (KPKM) berkata, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan Lima Peratus (SST5) di peringkat runcit kekal pada kadar RM2.60 sekilogram.

Ia adalah sejajar dengan peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 552).

Bagaimanapun menurut KPKM, kerajaan tidak mengawal harga beras putih import.

“Pada masa ini, harga pasaran beras putih import di peringkat runcit majoritinya masih berada di paras RM32 dan ke bawah bagi setiap beg 10 kilogram.

“Ini merupakan paras harga pasaran yang normal bagi gred beras putih import, dan ia bergantung kepada permintaan terhadap beras import,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah KPKM, pemantauan berterusan juga dijalankan di peringkat runcit dan borong di seluruh negara bagi memastikan harga dan bekalan beras sentiasa stabil.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin Ameer Ali Mydin mendakwa akan ada peningkatan harga lagi antara RM1 hingga RM2 untuk beras 10kg pada Julai.

Sehubungan itu, KPKM segera mengambil tindakan dengan mengeluarkan surat arahan bertarikh 16 Jun 2023 berhubung penetapan harga kawalan maksima jualan beras tempatan di peringkat kilang dan borong.

Ini bagi memastikan harga pasaran beras tempatan dalam negara sentiasa stabil dan terkawal.

Melalui surat arahan tersebut, KPKM mengarahkan pemegang Lesen Kilang Padi Komersil dan Lesen Borong Beras adalah dikehendaki mematuhi harga kawalan maksimum yang ditetapkan berkuatkuasa 16 Jun 2023.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast