Jessica Ng

KUALA LUMPUR – Eco-Shop Malaysia yang menjual barangan isi rumah harian memberi jaminan harga RM2.40 bagi setiap produknya akan kekal sehingga lima tahun datang.

Ketua Pegawai Operasinya, Jessica Ng berkata, kenaikan harga RM0.20 pada tahun lalu tidak dapat dielakkan kerana pihaknya perlu membuat penyelarasan harga selepas pandemik Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum itu.

“Kami mahu memperluaskan pemilihan produk dan meningkatkan jumlah barangan makanan dan minuman.

“Harga RM2.40 setiap barangan itu juga akan kekal untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang,” katanya pada majlis pelancaran kempen terbaharu sempena ulang tahun Eco-Shop Malaysia yang ke-20 di sini hari ini.

Majlis pelancaran kempen terbaharu sempena ulang tahun Eco-Shop Malaysia yang ke-20 berlangsung hari ini di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Mulai 1 Jun 2022, harga bagi setiap barangan di Eco-Shop ditukar daripada RM2.20 kepada RM2.40 disebabkan faktor peningkatan kos.

Eco-Shop ketika ini menawarkan lebih daripada 10,000 barangan produk, terdiri daripada keperluan isi rumah kepada mainan dan makanan kucing.

Syarikat itu yang memiliki lebih 246 kedai di seluruh negara menyasar untuk menggandakan asas keahlian aplikasi mudah alih susulan pelancaran kempen terbaharu sempena ulang tahunnya yang ke-20.

Bulan lalu, Eco-Shop membuka 10 lagi cawangan lagi dan kebanyakan lokasinya tertumpu di Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan menyasarkan harga rendah itu kepada golongan B40.

Sementara itu, Jessica berkata Eco-App syarikat itu adalah antara 10 aplikasi beli-belah teratas di Malaysia dan kini mempunyai 800,000 ahli.

Jelasnya, ahli baharu Eco-App akan menikmati pelbagai faedah dan kemas kini menerusi aplikasi yang diperkenalkan itu.
Kempen ‘Syokpping Gila-Gila dengan Satu Harga’ yang dilancarkan di stesen LRT Masjid Jamek hari ini merangkumi beberapa acara dan aktiviti, termasuk reruai di stesen berkenaan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast