Datuk Mohamad Razali
Datuk Mohamad Razali

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah MARA (MARA) mengumumkan pelantikan tokoh kewangan, Datuk Mohamad Razali sebagai Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan berkata, lantikan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dengan pengalaman luasnya dalam sektor kewangan terutamanya dalam penstrukturan syarikat dan menstrukturkan pelbagai instrumen kewangan termasuk Sukuk dan amanah saham pastinya menjadi aset penting untuk memperkasakan salah satu anak syarikat MARA Corporation iaitu Pelaburan MARA Berhad bagi melonjakkan agenda Bumiputera dalam sektor pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Mohamad Razali mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kewangan, perbankan, hartanah, pasaran modal dan ekuiti.

“Beliau pernah mengepalai beberapa institusi perbankan dan kewangan termasuk CitiBank, MIDF Group dan pernah berkhidmat di syarikat hartanah termasuk Sime Darby Group dan SP Setia,” kata Asyraf Wajdi lagi.

Beliau berkata, dengan lantikan tokoh-tokoh berpengalaman, ia akan dapat membantu memperkukuhkan lagi MARA sebagai institusi Melayu-Bumiputera yang unggul.

Mac lalu, MARA melantik bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Ahli Majlis MARA termasuk pakar ekonomi Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Malah bekas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman turut dilantik sebagai Pengerusi Mara Corporation (Mara Corp). – MalaysiaGazette