ACP Sarifuddin menyoal lelaki warga Pakistan yang ditahan kerana menunggang motosikal bersama rakannya tanpa lesen memandu dalam operasi Hormati Peraturan Lalu Lintas di Jalan Pahang hari ini.

KUALA LUMPUR – Operasi Hormati Undang-Undang Lalu Lintas yang bermula Isnin lalu sehingga hari ini telah mengeluarkan lebih 7,000 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai jenis kesalahan di ibu kota.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kebanyakan saman berkaitan kesalahan halangan lalu lintas dan melepasi garisan putih di lampu isyarat.

“Kita juga kesan bahawa trend terkini menyaksikan ramai warga asing menunggang motosikal tanpa lesen dan sepanjang tempoh tiga hari pelaksanaan operasi ini, seramai 36 warga asing ditahan atas kesalahan tersebut.

“Malah siasatan JSPT KL juga mendapati kebanyakan motosikal yang disita ini digunakan warga asing untuk berniaga atau diguna bagi perjalanan ke tempat kerja.

“Kesemua motosikal yang digunakan warga asing dipercayai disewakan atau dijual oleh warga tempatan kita kepada mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam perkara sama beliau menambah, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur dan ditetapkan tarikh untuk hadir ke mahkamah bagi tujuan pendakwaan manakala motosikal yang digunakan oleh mereka telah disita.

Polis mengambil tindakan ke atas mereka di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kita selepas ini akan memanggil pemilik asal motosikal yang digunakan oleh warga asing ini dan mengeluarkan saman kepada pemilik berkenaan manakala kesemua warga asing berkenaan akan dituduh di mahkamah secepat mungkin,” tegasnya.

Sementara itu, seorang lelaki warga Pakistan yang menunggang motosikal bersama rakannya untuk menghantar tempahan tudung kepada pelanggan antara ditahan dalam operasi di Jalan Pahang hari ini.

Motosikalnya yang dipercayai dibeli daripada rakan senegaranya yang kini sudah pulang ke Pakistan turut disita polis untuk tindakan lanjut.

Lelaki warga asing yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira pukul 3.45 petang dikenali sebagai Hameed berkata, dia dalam perjalanan untuk hantar tempahan tudung pelanggannya di Masjid India.

Operasi Hormati Peraturan Lalu Lintas yang dilaksanakan oleh JSPTKL di beberapa lokasi terpilih termasuk di Jalan Pahang berhadapan Hotel Grand Season di ibu negara petang hari ini.

“Saya beli motosikal jenis SYM ini dari rakan saya juga warga Pakistan. Dia sekarang sudah pulang ke kampung dan saya beli motosikal yang dipakainya dengan harga RM1,500 sahaja,” katanya ketika ditemui.

Selain itu, pemeriksaan lanjut terhadap lelaki yang mendakwa telah menetap di Malaysia selama lebih tiga tahun itu juga didapati tidak mempunyai dokumen lesen memandu.

Motosikal individu asing itu kemudian telah disita polis dan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang Pengangkutan Jalan. – MalaysiaGazette

Operasi Hormati Peraturan Lalu Lintas yang dilaksanakan oleh JSPTKL di beberapa lokasi terpilih termasuk di Jalan Pahang berhadapan Hotel Grand Season di ibu negara petang hari ini.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau betul tindakan yg dijalankan tidak mengikuti masa dan tempat..mungkin rakyat tempatan akan berasa aman dgn tindakan tegas keatas pendatang yg bermaharajalela menunggang kenderaan tanpa lesen yg sah.

Comments are closed.