Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 10 lelaki warga China disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan wang kripto haram di dua buah kondominium di sekitar Cheras kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, penahanan  kesemua suspek berusia antara 19  hingga 42 tahun dibuat dalam serbuan pada 2 petang 3 Julai lalu.

Menurut beliau, sindiket itu disyaki didalangi salah seorang suspek yang berusia 25 tahun.

“Dua premis itu dipercayai digunakan bagi tujuan promosi dan berfungsi sebagai pusat panggilan sindiket penipuan berkenaan sejak Mei lalu.

“Kesemua suspek yang berkerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan akan menghubungi mangsa warga China menerusi aplikasi Telegram bagi memperdaya mangsa melabur melalui laman web https://www.aicoin.com,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.

Katanya, dalam serbuan yang dijalankan, polis turut merampas lima unit komputer riba, 21 telefon bimbit serta sebuah modem dan router yang disyaki digunakan untuk aktiviti penipuan pelaburan tersebut.

Mengulas lanjut, Zam Halim berkata, sembilan daripada suspek didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Hasil semakan mendapati hanya suspek utama sahaja mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 sebulan dan ahli sindiket akan menerima komisen sebanyak 10 hingga 15 peratus dari setiap pelaburan yang dibuat,” katanya lagi.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada sindiket terbabit bekerja sama dengan sindiket penipuan lain di luar negara.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120 B akta sama. -MalaysiaGazette