Gambar tular di media sosial #malaysiagazette

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu tiga lelaki yang meragut rantai leher milik seorang warga emas dalam di kawasan perumahan Bukit Kemuning, Shah Alam pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dicari berikutan rakaman yang memaparkan mereka di laman TikTok.

Katanya, dalam kejadian sekitar 10.29 pagi, tiga suspek yang menunggang dua buah motosikal telah ke rumah mangsa dengan berpura-pura untuk membeli rokok.

“Ketika mangsa diminta untuk menukar (rokok) dengan jenis rokok lain, salah seorang suspek meluru ke arah mangsa dan meragut rantai leher yang dipakai oleh mangsa serta terus melarikan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, mangsa yang berusia 67 tahun mengalami kecederaan di lengan, lutut dan kaki kerana terjatuh akibat diseret suspek.

Susulan itu kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Laymand ditalian 03-55202222 bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette