KUALA LUMPUR – Ketua Bersatu Bahagian Selayang, Datuk Azman Yaakob antara nama yang disebut-sebut sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.
Azman yang juga Ketua Perikatan Nasional (PN) Badan Perhubungan Bersatu Selayang disenaraikan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang di bawah Parlimen Selayang.
Selain Kuang, dua DUN lagi adalah Templer dan Rawang.
Azman yang Setiausaha Badan Perhubungan Negeri PN Selangor dikatakan menjadi pilihan pucuk pimpinan kerana beliau anak tempatan yang mampu menang dan mempunyai pengaruh dan sokongan akar umbi yang kuat.
Kerusi DUN Kuang dikatakan antara kerusi yang mampu menyumbang kepada 33 kerusi yang yang disasarkan PN daripada 56 kerusi DUN pada PRN Selangor.
Sallehudin Amiruddin yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum pada 2018 lalu.
Beliau ketika itu memenangi pertandingan empat penjuru menentang penyandang, Datuk Abdul Shukor Idrus dari Barisan Nasional, Mohd. Fauzan Madzlan (Pas) dan Mohd. Rafie Mohammad Arif dari Parti Rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette