Pelakon, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin

KUALA LUMPUR- Kes saman pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin terhadap bekas madunya, Ira Kazar diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

Perkara itu disahkan peguam pelakon wanita berkenaan, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff selepas sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Noakhmar Mohd. Sani, hari ini.

Menurut Puteri Ummi Kartini, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan Puteri Sarah dan Ira yang mana mereka mahu menyelesaikan kes secara damai di luar mahkamah.

Pada 30 Jun tahun lalu, Puteri Sarah dilapor mengesahkan memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap wanita yang didakwa kekasih Syamsul, Ira Kazar atau nama penuhnya, Faghira Fatini Kazaruddin, 28.

Puteri Sarah dilaporkan berkata, selepas hampir empat tahun menahan sabar dan menanggung derita, dia akhirnya bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang.

Untuk rekod, Puteri Sarah, 38, bercerai dengan pengarah dan pelakon Mohd Syamsul Yusof, 39, 14 Jun lalu sekali gus mengakhir kemelut rumah tangga mereka selama empat tahun.

Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4 selepas mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014.-MalaysiaGazette