KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad tetap akan bersekongkol untuk mempertahankan agenda masing-masing.
Sebaliknya, ia berbeza dengan pendekatan Kerajaan Perpaduan yang terbina pada hari ini apabila memiliki tanggungjawab untuk menyelamatkan negara, kata Perdana Menteri.
“Bukan perkara baharu…kita tahu bahawa kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk mempertahankan cara mereka.
“Kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) dan melancarkan aplikasi i-Akaun KWSP di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaa media mengenai pertemuan bekas kedua-dua perdana menteri itu semalam.
Muhyiddin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.
Pertemuan diadakan di rumah Dr Mahathir selama dua jam.
Menurut Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu.
Katanya, pertemuan itu merupakan satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu. – MalaysiaGazette

















ANWAR ANWAR…
mentang-mentang agenda jadi PM dah dapat.. jangan pula berhalusinasi dengan agenda orang lain.. MALAYSIA ni BERPELEMBAGAAN dan bebas bersuara selagi tidak melanggar Undang-undang Negara. harap PMX tumpukan pada kerja mengurus NEGARA dan hentikan berpolitik sehingga Parliament dibubarkan