Onn Hafiz (tengah) ketika mengadakan lawatan ke Singapura baru-baru ini. Foto ihsan: Fb Onn Hafiz Ghazi

ISKANDAR PUTERI — Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa yakin terhadap pengalaman Maersk dan prestasi Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang mampu menarik pelabur serta merangsang ekonomi negeri ini.

Keyakinan itu dizahirkan susulan pertemuan bersama pihak Maersk dalam lawatan tiga hari ke Singapura baru-baru ini.

Beliau berkata, Maersk yang merupakan syarikat pengangkutan maritim dan logistik global telah menyatakan hasrat untuk melabur di PTP dengan potensi pelaburan signifikan.

“Adalah penting untuk kedua-dua pihak meneliti dan memperincikan setiap aspek perancangan pembangunan serta pelaburan jangka masa panjang untuk kawasan PTP,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya hari ini.

Onn Hafiz berkata, Maersk telah berjaya merekodkan hasil pendapatan sebanyak AS$81.5 bilion dengan jumlah pekerja seramai 110,000 orang di seluruh dunia pada tahun lalu, meskipun berhadapan cabaran pasaran tidak menentu.

“Maersk dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga telah menandatangani MoU pada Ogos 2022, dengan perancangan mewujudkan rangkaian hab logistik di Malaysia, menerusi beberapa fasa sehingga tahun 2030.

“Kerajaan Negeri yakin dengan pengalaman Maersk sebagai penyedia perkhidmatan logistik terbaik serta prestasi PTP sebagai Pelabuhan ke-15 Terbaik di dunia, ianya mampu menarik lebih ramai pelabur serta memangkin ekonomi Negeri Johor ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast