Syeikh Umar menanyakan sesuatu kepada peserta pada Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030 di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – DAP Johor akan membantu calon Pakatan Harapan (PH) dan BN berkempen pada pilihan raya di enam negeri pada bulan depan.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pihaknya akan memberi keutamaan berkempen di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Jelasnya, beliau percaya calon parti komponen Kerajaan Perpaduan mampu memenangi PRN sekiranya mereka fokus terhadap perkara yang dilakukan.
“Untuk PRN enam negeri ini, jentera (DAP Johor) akan diagih kepada semua negeri, namun fokus kita adalah buat negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan. Ini kerana jentera DAP dan PH di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah bersiap siaga secukupnya.
“Mengapa kita focuskan tiga negeri saya nyatakan tadi kerana kita mempunyai peluang untuk menang dan menubuhkan kerajaan negeri,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) selepas majlis Penutupan Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khaitulzamri M Salleh; Timbalab Ketua Pengarah Pembangunan LPNM, Linda Buang dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPNM, Onn Abdul Shukur Tahiruddin.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pengundian di enam negeri dijalankan serentak pada 12 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – MalaysiaGazette