Rahmad Mariman

MELAKA – Semua sekolah khususnya berasrama di negeri ini diingatkan tidak menyembunyikan sebarang kes buli bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, kesalahan itu jika tidak dibendung dikhuatiri boleh menyebabkan mangsa atau pelaku terlibat dalam jenayah lebih besar kelak.

“Saya mengingatkan semua sekolah, khasnya sekolah berasrama supaya sentiasa memantau pelajar-pelajar terutamanya junior yang ada kemungkinan minggu orientasi mereka tak berkesudahan.

“Jadi saya menyarankan supaya semua sekolah melibatkan pengetua dan warden memastikan tidak berlaku kes-kes buli tidak menyembunyikannya supaya tidak berlaku insiden lain di luar jangka,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas Program Perhimpunan Agensi Agama Negeri di Auditorium Masjid Al- Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Rahmad diminta mengulas pengakuan bapa remaja lelaki 14 tahun yang dipercayai mencekik sehingga mati adiknya di sini semalam mendakwa anaknya menjadi mangsa buli pelajar senior sekolah asrama sejak tahun lalu.

Najli Yakob, 42 mendedahkan anak sulungnya itu kerap mengadu hampir setiap hari dipukul, disepak dan dicekik pelajar senior asrama sebuah sekolah arab di Alor Gajah.

Menurut bapa kepada empat anak berusia 14 hingga 4 tahun itu, dia pernah mengadukan kes itu kepada pihak sekolah namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelajar terbabit.

Mengulas lanjut, tanpa merujuk kepada kes tersebut Rahmad turut menasihati ibu bapa supaya sentiasa bertanya khabar mengenai kehidupan di asrama apabila anak mereka pulang ke rumah.

“Bila anak-anak ini balik ke rumah, itu adalah kesinambungan tanggungjawab ibu bapa untuk bertanyakan bagaimana keadaan mereka di asrama termasuk layanan kawan-kawan.

“Ini penting supaya kita boleh mendapat maklumat awal sekiranya berlaku tindakan yang tidak sepatutnya di sekolah berasrama,” katanya.

MalaysiaGazette malam tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kejadian disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah.

Sebaik membuka pintu, jirannya itu terkejut apabila mendapati remaja lelaki berkenaan sedang mencekik adiknya yang sudah tidak bernyawa sebelum dia segera menepis tangan pelajar tingkatan dua itu. – MalaysiaGazette