Kok Chin (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang tahanan berkait sindiket pengedaran dadah ditemui mati dalam dalam lokap di Balai Polis Nibong Tebal, hari ini.

Suspek berusia 40 tahun itu dipercayai menggantung diri di besi lokap terbabit menggunakan bajunya sebelum ditemui polis bertugas pada jam 10.30 pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil semakan daripada kamera litar tertutup (CCTV) di lokap berkenaan mendapati suspek dipercayai bertindak membunuh dirinya sendiri.

Jelas beliau, suspek berada bersama tiga lagi banduan lain di lokap sama namun ketiga-tiga mereka tidak sedar kejadian susulan nyenyak tidur.

“Suspek merupakan salah seorang daripada lima lelaki tempatan berusia 35 hingga 58 tahun yang ditahan selepas terlibat dengan sindiket pengedarah dadah.

“Sebaik kejadian itu, kita memanggil koroner datang mengesahkan kematian suspek dan tiada kesan jenayah atau pergelutan membabitkan insiden ini berdasarkan pemeriksaan di hospital.

Dadah jenis mushroom antara yang dirampas polis.

“Bagaimanapun, kita akan teruskan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, Kok Chin menegaskan, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM116,000 menerusi empat serbuan di sekitar negeri ini dan Kedah dalam operasi selama dua hari bermula semalam.

Jelas beliau, menerusi operasi terancang itu, seramai lima lelaki berkenaan ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal tahun ini bagi pasaran tempatan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif pelbagai jenis dadah iaitu Methamphetamine, ketamin dan THC.

Kereta serta motosikal yang disita daripada sindiket pengedaran dadah.

“Kesemuanya mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah serta direman selama tujuh hari sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi itu kita turut sita tiga kenderaan termasuk motosikal. Secara keseluruhan sitaan serta rampasan dadah bernilai RM201,520,” katanya. – MalaysiaGazette