Muhammad Sanusi.

KUALA LUMPUR – MCA dan MIC dicadangkan untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) agar kerusi di kawasan undi campuran boleh diberi kepada parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, kedua-dua parti itu perlu bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu, kata Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berpendapat, MCA dan MIC wajar membuat keputusan seperti itu selepas BN menyisihkan parti tersebut untuk mendapatkan kerusi boleh menang pada PRN berkenaan.

“Pada pandangan saya, bila BN berada bersama parti-parti bukan Melayu dalam Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PKR yang merupakan parti multiracial (pelbagai kaum), jadi, kerusi campuran ini terpaksa diberikan kepada PH.

“Maka, kerusi untuk diberi kepada MCA dan MIC tak ada lagi. Diberikan kerusi bertanding untuk kalah.

“Maka MCA memilih untuk tidak bertanding..dan saya rasa perkara ini perlu dilanjutkan lagi dengan MCA dan MIC keluar dari Barisan Nasional.

“ini lebih munasabah. Saya rasa kerusi campuran ini boleh diberikan kepada MCA dan MIC kalau mereka jadi komponen dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam satu wawancara khas yang disiarkan di Facebook.

Dalam pada itu, Sanusi mendakwa, keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada PRN merupakan isyarat bantahan terhadap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kelmarin, MCA dan MIC dilapor membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN yang akan berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon manakala, MIC menerusi setiausaha agungnya, RT Rajasekaran.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berjanji komponen BN itu akan tetap diberikan kerusi untuk bertanding pada PRN akan datang.

Bagaimanapun, MCA dan MIC kemudiannya membuat keputusan sedemikian.

Senalam, Ahmad Zahid menafikan dua parti komponen itu memboikot BN, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen untuk membantu jentera BN pada PRN di enam negeri. – MalaysiaGazette