Logo Perodua

KUALA LUMPUR – Perodua mengeluarkan 153,813 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, iaitu peningkatan sebanyak 17% berbanding 131,641 unit yang dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.

Pencapaian pengeluaran itu meningkat sebanyak 13.6% kepada 144,690 kenderaan bagi separuh pertama 2023 (1H23) berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.berkata, Bezza merupakan model terlaris Perodua setakat tahun ini dengan jumlah didaftarkan antara Januari dan Jun sebanyak 40,555 unit, diikuti Myvi (32,319), dan Axia (28,199).

“Prestasi pengeluaran dan jualan yang lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” katanya.

Menurut Zainal Abidin, Perodua berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 dan sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini kerana syarikat kereta kompak itu akan menambah baik lagi kecekapan operasinya.

Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 kenderaan pada suku kedua 2023 (2Q23), peningkatan sebanyak 1% daripada 68,316 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, prestasi pengeluaran Perodua pada suku pertama 2023 sebahagian besarnya disumbangkan oleh usaha syarikat berkenaan dalam memenuhi tempahan di bawah inisiatif Penjana.

Pada suku kedua, Perodua merekodkan jualan 66,126 unit berbanding 65,719 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami menjangkakan kedua-dua pengeluaran dan jualan kami pada masa akan datang terus meningkat berikutan permintaan untuk kenderaan kami kekal kukuh,” ujarnya sambil memberitahu, Axia E yang dilancarkan baru-baru ini mendapat sambutan yang baik dan stok sedia ada sebanyak 2,500 kenderaan telah diedarkan sepenuhnya dalam tempoh 48 jam.

Walaupun tempahan sedia ada amat menggalakkan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya kos pembiayaan yang lebih tinggi dan kekurangan bekalan yang mungkin berlaku secara berkala.

“Meskipun begitu, kami masih teguh dengan sasaran kami, dan kami berterima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas sokongan dan kesabaran mereka. Kami juga berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia kerana mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3% kerana ini akan membantu mengurangkan kos pembiayaan para pelanggan kami yang terdiri daripada golongan berpendapatan
rendah,” kata Zainal Abidin. – MalaysiaGazette