Jawatan Presiden Gerakan dicabar empat orang calon pada pemilihan parti itu, 15 Julai depan
Jawatan Presiden Gerakan dicabar empat orang calon pada pemilihan parti itu, 15 Julai depan

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau akan berdepan dengan tiga pencabar pada pemilihan parti itu 15 Julai depan.

Ahli Jawatankuasa Penyeliaan Pemilihan Gerakan, Soo Kay Ping mengumumkan jawatan tertinggi parti itu akan ditandingi Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Lau Hoi Keong; Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Michael Gan dan bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk Liang Teck Meng.

Menurut Kay Ping, dua lagi jawatan iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden turut menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Jawatan Timbalan Presiden menyaksikan penyandangnya Oh Toh Keong bersaing mempertahankan jawatan itu daripada Setiausaha parti tersebut, Mak Kah Keong; Timbalan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Kiew Hen Chong dan Prabagaran Vhytilinggam.

“Jawatan Naib Presiden ditandingi Pengerusi Gerakan Sabah, Datuk Alexander Lo Su Hyen; penyandang, Baljit Singh Lingiri Singh; penyandang, Ko Shiaw Lie dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Sembilan, Lee Ban Fatt bagi merebut tiga kerusi yang dipertandingkan,” katanya dalam sidang media selepas sesi pengumunan calon bagi pemilihan parti, hari ini.

Jelasnya, bagi semua jawatan sayap parti berkenaan Pemuda dan Wanita diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding.

“Ini bermakna Chung Mun Sie dan Wong Chia Zen masing-masing kekal untuk jawatan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda bersama keseluruhan ahli jawatankuasa masing-masing.

“Manakala untuk pemilihan jawatankuasa sebanyak 40 nama telah disahkan bertanding untuk mengisi kekosongan 18 jawatankuasa tertinggi parti itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette