Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

BANGI – Pengundi di Selangor diingatkan agar tidak membenarkan Perikatan Nasional (PN) untuk cuba ‘Kelantankan’ negeri tersebut.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi ingatan yang sama kepada pengundi di Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Menurutnya, sebagai pemimpin dari Terengganu beliau merasai sendiri kemunduran yang dialami di negeri kelahirannya serta negeri jiran, Kelantan.

“Apabila ada parti yang bernama Perikatan Nasional (PN) kombinasi Bersatu dan Pas yang bercakap mereka mahu mengubah Selangor dan mahu memajukan Selangor dengan lebih hebat.

“Saya cakap mudah sahaja, saya orang Terengganu jiran dengan Kelantan. Dua-dua negeri diperintah Pas. Saya kata jangan sama sekali bercita-cita ‘Kelantankan’ Selangor. Bahaya.

“Mereka mahu mengkelantankan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang (tapi) tengoklah (isu) air di Kelantan pun tak selesai ada hati untuk kata mereka boleh majukan Selangor lebih hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Shabery berkata, rakyat Selangor seharusnya memberikan pandangan kepada warga Kelantan, Terengganu dan Kedah supaya tidak memilih Perikatan Nasional jika hendak mengecapi kemajuan.

“Kalau nak maju lupakan PN mari kita Selangorkan Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Lambang kemajuan, lambang kemakmuran, lambang memberi pekerjaan kepada anak-anak muda bukan di Kelantan. Orang Kelantan lari meninggalkan tempat mereka, datang ke Selangor. Orang Terengganu datang ke Selangor.

“Bagaimana kamu mengatakan mereka (PN) boleh membawa perubahan. Ubahlah Kelantan dahulu, ubahlah Terengganu dahulu. Jangan mimpi untuk bercakap kamu lebih baik daripada apa yang ada di Selangor ini,” katanya.

Enam negeri akan mengadakan pilihan raya awal Ogos ini iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai Pakatan Harapan serta Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir oleh PN.

Ahmad Shabery berkata, pilihan raya yang akan berlangsung itu amat penting namun kehadiran ramai penyokong pada majlis berkenaan memberi petanda bahawa parti kerajaan perpaduan mempunyai peluang cerah untuk menang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. alahai Pokcik ni.. AnakMuda dah lebih CERDIK.. mereka TAHU “ketinggalan” TERENGGANU akibat UMNO… PAS berapa hari urustadbir TERENGGANU?
    kini rakyat SELANGOR tidak mahu “di AHMAD SYABRY CHIK kan” kerana KEROSAKAN UMNO dari DULU KINI DAN SEMASA…. SYABERY CHIK masuk nama ke… dimana? KELUARKAN DUIT banyak-banyak untuk supaya NAMA TERANG…. ZAHID HAMIDI dah ROSAK KATARAK…. dia terbayang-bayang tu…

Comments are closed.