Onn Hafiz bertemu dengan pelabur di Singapura. Foto ihsan pejabat MB

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri serius dalam meningkatkan kerjasama antara Johor dan Singapura menerusi perkhidmatan feri dari Puteri Harbour, di sini, ke negara jiran.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, cadangan mewujudkan perkhidmatan berkenaan antara perkara dibincangkan dalam pertemuan bersama Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran.
“Kami turut bincang cadangan mewujudkan perkhidmatan feri dari Puteri Harbour ke Singapura, bagi menambah kemudahan pengangkutan awam antara Johor dan Singapura.
“Jika hasrat ini dapat direalisasikan, sudah tentu ia mampu mengurangkan kebergantungan kepada jalan darat, meningkatkan kesalinghubungan yang bukan sahaja penting untuk logistik perniagaan, tetapi juga hubungan sesama rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi perkongsian kenyataan media hari ini.
Terdahulu, pertemuan bersama Iswaran yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perhubungan Perdagangan Singapura berlangsung dalam misi lawatan Menteri Besar Johor selama tiga hari ke negara jiran.
Onn Hafiz memberitahu, beliau telah membincangkan pelbagai perkara termasuklah penyelesaian isu kesesakan trafik di Tambak Johor dan Linkedua serta bagaimana aliran trafik boleh disepadukan dengan lebih teratur di kedua-dua negara.
“Semoga segala perkara yang direncanakan akan membuahkan hasil yang sudah pasti mampu memberi manfaat kepada Johor dan juga Singapura,” katanya.- MalaysiaGazette