Dr. Nor Azimi ketika sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Pahang di Atrium, Tasek KotaSAS

KUANTAN – Masalah karies gigi atau gigi berlubang dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah masih menjadi masalah utama di Pahang.

Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan bagi Kanak-kanak Prasekolah pada Tahun 2015 mendapati 80.5% kanak-kanak berumur 5 tahun di Negeri Pahang mengalami karies gigi, iaitu ke lima tertinggi di Malaysia.

Bagi murid berumur 12 tahun ke bawah sebanyak 40.1% yang direkodkan pada 2017 juga ke lima tertinggi di Malaysia, kata Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus.

Dr. Nor Azimi Yunus

Disebabkan itu, katanya, banyak program berkaitan kesedaran kesihatan gigi termasuk program ‘outreach’ kepada pelbagai peringkat umur telah dilaksanakan di negeri ini.

Menurut Nor Azimi, sasaran utama Program Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia (PKP KKM) mahu lebih ramai membuat pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya setahun sekali.

“Di Pahang, tahap kesedaran tentang kesihatan gigi masih rendah. Satu daripada empat individu atau 25% daripada rakyat di negeri ini tidak pernah menjalani pemeriksaan gigi.

“Pada 2022, kadar penggunaan fasiliti pergigian di Pahang adalah 24.6% sahaja, sedangkan klinik pergigian banyak terdapat di setiap daerah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Pahang di Atrium, Tasek KotaSAS, di sini hari ini.

Nor Azimi berkata, Pahang mempunyai 73 buah fasiliti Kesihatan Pergigian Primer yang menyediakan rawatan asas pergigian, dengan 64 buah Klinik Pergigian dibuka setiap hari manakala sembilan buah lagi perkhidmatan diberikan secara lawatan.

Dr. Nor Azimi Yunus (dua dari kiri) meninjau operasi Klinik Pergigian Bergerak di Atrium Tasek KotaSAS sempena sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Pahang

 

“Selain itu, terdapat juga tiga buah Klinik Pergigian Bergerak yang terletak di Daerah Kuantan, Maran dan Lipis yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat melalui Program Kesihatan Pergigian Jangkau Luar (outreach),” ulas beliau lagi.

Mengulas berkenaan sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian tahun ini,  pelbagai aktiviti telah dianjurkan PKP KKM hari ini seperti  Pertandingan “Dental Exploria”, Pertandingan Mewarna dan “Bright Smile Run” yang disertai oleh 70 pelajar sekolah rendah sekitar Kuantan dan pelbagai lapisan masyarakat.

Terdapat juga dua buah Klinik Pergigian Bergerak dan empat buah Pasukan Pergigian Bergerak disediakan bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk pengunjung. – MalaysiaGazette