Dominic.

KUALA LUMPUR – Gerakan mengesahkan akan bertanding sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri pada 12 Ogos depan.

Presidennya, Datuk Dominic Lau berkata, parti itu mendapat 19 kerusi di Pulau Pinang untuk ditandingi dan tidak meletakkan calon di Terengganu dan Kelantan.

“Gerakan akan bertanding di 36 kerusi DUN melibatkan Kedah tiga kerusi, Pulau Pinang 19 kerusi, Selangor lapan kerusi dan Negeri Sembilan enam kerusi,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Lai turut mengesahkan beliau akan bertanding di DUN Pulau Pinang namun tidak memperincikan kawasan tersebut.

“Saya sudah umum kekal bertanding di Pulau Pinang, mati pun nak di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Bulan lalu, Lau berkata, beliau akan bertanding di Pulau Pinang.

Lau berkata, beliau berhasrat bertanding di satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Seberang Perai.

Dalam pada itu, Lau berkata, dirinya akan mempertahankan kerusi presiden pada pemilihan parti akan datang.

“Saya akan pertahankan kerusi Presiden Gerakan pada pemilihan parti akan datang.

“Saya menerima pencalonan daripada 11 buah negeri,” katanya lagi.

Lau berkata 11 buah negeri itu antaranya adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Terengganu.

Sebelum ini, media melaporkan Lau akan berdepan tiga pencabar bagi kerusi presiden selepas urndingan bagi memastikan persaingan satu lawan satu gagal dicapai.

Antara pencabar Lau adalah Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Lau Hoi Keong; Pengerusi Gerakan Melaka Michael Gan, dan bekas setiausaha agung parti itu, Datuk Liang Teck Meng. – MalaysiaGazette