Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melakukan pengawasan ke atas syarikat telekomunikasi (telco) untuk mengoptimumkan kapasiti rangkaian, liputan perkhidmatan dan meningkatkan kualiti pengalaman bagi persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi yang diadakan di enam negeri.

Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan kepada Bernama berkata, berikutan pilihan raya itu dijangkakan trafik akan bertambah dan permintaan terhadap liputan juga akan meningkat termasuk pada hari mengundi.

Bagaimanapun MCMC berkata, ia akan sentiasa memantau liputan dan perkhidmatan telekomunikasi supaya berada dalam keadaan baik.

“Pengarah MCMC negeri di enam negeri  juga akan melakukan pengawasan di barisan hadapan memantau liputan perkhidmatan oleh telco untuk memastikan ia berada pada tahap memuaskan. MCMC sentiasa bersedia untuk menangani perkara itu,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu, telah menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijalankan serentak pada 12 Ogos manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos. –  Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast