Pelajar-pelajar pelajar pengajian Diploma Perakaunan Universiti Malaya di Kampus Bachok yang menang dalam pertandingan National 3-Minutes Business Idea Pitch Innovation Competition’

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh orang pelajar Diploma Perakaunan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed) berjaya meraih anugerah perak bagi pertandingan National 3-Minutes Business Idea Pitch Innovation Competition’ peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Kelantan itu disertai oleh para pelajar dari  54 universiti di Malaysia telah bersaing untuk mempamerkan idea perniagaan mereka dalam masa tiga minit yang mencabar.

Bahagian Komunikasi dan Korporat Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya dalam satu kenyataan berkata, kejayaan yang diraih itu merupakan suatu pencapaian yang membanggakan serta menunjukkan kualiti dan keunggulan para pelajar terbabit.

Tujuh tersebut ialah Foo Zi Xing, Adlina Azmi, Nurmaisara Safiyya Badrul Sham, Nur Zaimah Zaini, Kang Siew Sze dan Nur Alisa Natasya Baharin yang merupakan pelajar pengajian Diploma Perakaunan Universiti Malaya di Kampus Bachok.

“Idea perniagaan yang diterjemahkan sebagai ‘Sandwich Sushi Empire’ telah merebut perhatian juri pertandingan dengan pembentangan yang berkesan. Kebolehan mereka  membentangkan konsep perniagaan secara ringkas dan padat adalah contoh kejayaan yang memberangsangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya lagi, kumpulan pelajar UM juga telah merangkul anugerah Video Terbaik yang mengiktiraf usaha mereka dalam menghasilkan video berwarna warni serta profesional bagi menggambarkan idea perniagaan dengan jelas dan kreatif.

Dalam pada itu, salah seorang pemenangnya, Siew Sze berkata, Sandwich Sushi Empire adalah sebuah kedai yang beroperasi untuk menyediakan sandwich gabungan dua rasa iaitu ayam organik dan sushi.

“Sushi adalah makanan popular dari Jepun yang diperbuat daripada nasi bercuka. Jadi kami tukar nasi kepada roti. Kami juga menggunakan sos Osayo yang diimport dari Jepun bagi memberikan keunikan rasa sandwich sushi ini,” ujarnya.

Sementara itu, pensyarah yang bertanggungjawab membimbing pelajar-pelajar ini, Zaleha Hassan mendedahkan, kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan komitmen daripada mereka untuk menggilap kemahiran perniagaan.

“Saya bersyukur kerana dengan adanya platform pertandingan ini menjadi medan praktikal pelajar untuk mengaplikasikan teori yang diajar dalam subjek Asas Keusahawanan di Malaysia. Syabas saya ucapkan dan semoga mereka terus maju ke hadapan,” katanya.

Pengumuman pemenang telah diumumkan pada jam 11 pagi pada 6 Julai lepas menerusi saluran Youtube rasmi pihak penganjur dengan para peserta yang berjaya membawa pulang wang tunai, sijil penyertaan, sijil pemenang dan hakcipta penerbitan dalam buku. -MalaysiaGazette