Zainal Abidin Putih

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) mengumumkan pelantikan Datuk Zainal Abidin Putih sebagai pengerusi baharunya berkuatkuasa 1 Ogos 2023, menggantikan
Tan Sri Azlan Hashim, yang melengkapkan tempoh perkhidmatan dua tahun beliau pada 31 Julai 2023.

Zainal Abidin membawa pengalaman luas dan rekod pencapaian cemerlang dalam sektor korporat di Malaysia.

Beliau adalah Pengerusi Yayasan Laporan Kewangan (FRF), Land and General Berhad, Touch ‘n Go Sdn Bhd dan Tokio Marine Insurans (Malaysia) Bhd, serta Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad dan beberapa syarikat sendirian berhad .

Pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, CIMB Bank Berhad, Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB) dan Presiden Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA).

Sebagai pengerusi, Zainal Abidin akan bertanggungjawab mengawasi keseluruhan tadbir urus dan hala tuju strategik TM.

Beliau akan bekerja rapat dengan lembaga pengarah dan pasukan pengurusan bagi memacu fasa pertumbuhan seterusnya untuk TM dan mengukuhkan kedudukan pasarannya.

Azlan, yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi menzahirkan keyakinan beliau atas pelantikan Zainal Abidin.

“Saya gembira menyerahkan tugas kepada Dato’ Zainal Abidin. Pengalaman luas dan pemahaman mendalam dalam sektor korporat menjadikan beliau calon terbaik untuk
membawa TM ke fasa pertumbuhan seterusnya. Saya yakin sepenuhnya dengan keupayaan beliau untuk membimbing syarikat menuju pencapaian yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, TM melahirkan penghargaan kepada Azlan Hashim atas sumbangan berharga, dedikasi, dan kepimpinan semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai pengerusi.

Visi dan panduan strategik beliau telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan terkini syarikat. – MalaysiaGazette