Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan

KEMAMAN – Seorang bayi perempuan berusia setahun lima bulan maut selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipercayai dipandu sepupunya di rumah mereka di Kampung Darat Kolam, Kerteh di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata mangsa Syaza Syazwina Zahra Mohd Sazali mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

“Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.30 malam tadi. Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu sepupu mangsa yang berusia 19 tahun.

“Kenderaan itu diparkir di hadapan rumah tersebut dan pemandu dikatakan sedang mengundur kenderaan untuk ke rumah bapa mentuanya di Rasau, Dungun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata dalam kejadian berkenaan, mangsa yang tinggal di rumah bersebelahan telah keluar tanpa pengetahuan ibunya dan berada di belakang kenderaan itu ketika ia sedang mengundur.

“Mangsa telah terkena tayar sebelah kiri kenderaan itu dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA