Teo Nie Ching

KULAI – DAP menafikan keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) ada kaitan dengan parti itu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, soal perebutan kerusi jika parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu menyertai PRN tidak timbul.

Ia memandangkan pembahagian kerusi adalah berdasarkan parti yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terus bertanding di kerusi berkenaan, katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci sebaliknya menghormati keputusan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Perbincangan pembahagian kerusi yang dilakukan adalah antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN bukannya secara terus membabitkan DAP dengan MCA dan MIC.

“Tambahan pula asas pembahagian adalah kerusi yang dimenangi mana-mana parti akan terus ditandingi parti tersebut. Jadi, tidak timbul isu perebutan kerusi yang ingin ditandingi,” katanya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Ultimate MMA Fitness & Self Defence, Indahpura, Kulai hari ini.

Sebelum ini, MCA dan MIC mengumumkan untuk tidak bertanding di dalam PRN meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.

Pada lawatan itu , Nie Ching turut menyampaikan replika cek sumbangan kepada ketua jurulatih MMA Cawangan Kulai, Mohamad Hisyam Kamarulzaman sebanyak RM6,000.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. faham faham DAP tiada kaitan MCA MIC TIDAK BERTANDING PRN 6 NEGERI.. Satu perkataan pun Pemimpin MCA MIC tak sebut DAP.. faham-faham lah akarumbi UMNO pun faham…

Comments are closed.