Para peserta Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) menamatkan kursus masing-masing di Teja Skills Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Biarpun sarat mengandung namun ia tidak menghalang minat seorang ibu muda untuk menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2023 anjuran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Nur Amirah Sakinah Yahya, 26, berkata, beliau berkampung di Teja Skills di sini selama seminggu semata-mata untuk menuntut ilmu keusahawanan bagi membantu meningkatkan pendapatan perniagaan kecantikan yang diusahakannya.

Katanya, sesi pembelajaran menerusi PEKB itu dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu meluaskan peniagaan terutamanya aspek pemasaran digital menerusi media sosial.

“Pengalaman yang saya raih sangat banyak dalam program ini dan amat membantu terutamanya kaedah pemasaran menerusi aplikasi Shoppe, Tiktok dan Facebook.

”Insya-Allah saya akan aplikasikan dalam produk kecantikan, saya tidak mahu lepaskan peluang ini yang membantu untuk ubah nasib keluarga saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Nur Amirah Sakinah Yahya

Menurut Amirah, bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman membantu beliau membezakan fungsi setiap platform media sosial yang digunakan untuk pemasaran sesuai dengan peredaran zaman.

Sementara itu, Norakima Abdul Majid, 46, yang juga merupakan ibu tunggal berkongsi keterujaannya apabila berpeluang  menyertai PEKB yang disifatkan amat berbaloi kepada para peserta.

Norakima yang mempunya tiga cahaya mata pernah menjual biskut menerusi dalam talian berhasrat untuk lebih fokus dan berjaya dalam perniagaannya dengan menggunakan ilmu yang diperolehinya sepanjang kursus.

”Alhamdulillah dapat belajar cara buat kuih, selama ini main campak-campak sahaja, sekarang ini sudah tahu cara yang betul.

Norakima Abdul Majid

”Dapat pula cikgu yang bagus dan bagi ilmu sepenuhnya bantu saya majukan perniagaan dan bidang pembuatan biskut sebagai sumber pendapatan membesarkan anak-anak saya.

”Mereka juga ajar pemasaran dalam talian dengan lebih luas termasuk cara memohon pendaftaran syarikat dan membuat pinjaman. Program sangat berbaloi, terima kasih kepada KPKT dan agensi berkaitan yang membantu,” katanya.

Bagi tenaga pengajar dan jurulatih Teja Skills, Bibi Hissam dan Rajuna Bakar pula menyifatkan peserta memberi komitmen dan fokus dalam menjayakan program tersebut.

Mereka berpuas hati dengan usaha dan pencapaian yang diberikan para peserta dari Pahang dan Terengganu di bawah naungan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan Yayasan Bestari Malaysia.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang dan Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Suhaimi Ali@Ahmad.

Menurut Akmal, KPKT memperuntukkan RM10 juta menerusi Program PEKB membabitkan seramai 835 peserta yang dipilih dan dilatih bagi mengikuti PEKB di seluruh negara.

Selain menjalani latihan kemahiran bersesuaian para peserta turut menikmati elaun kursus dan bantuan alatan perniagaan.

Program PEKB merupakan usaha KPKT dalam memperkasakan komuniti bandar khususnya dalam kalangan golongan B40. Bantuan yang disediakan melalui program PEKB ini dapat  menjana pendapatan dan membantu menyara kehidupan keluarga dan seterusnya keluar dari garis kemiskinan.

Menerusi  program berkenaan, peserta akan diberikan latihan keusahawanan bertujuan meningkatkan kemahiran mereka supaya mampu mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih baik.

Di samping itu, para peserta PEKB juga diberikan alatan perniagaan sejurus selepas tamat kursus dan pihak NGO yang terbabit akan memantau aktiviti perniagaan mereka selama tiga  bulan bagi memastikan para peserta dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM600. – MalaysiaGazette