Nie Ching menyampaikan cek sumbangan kepada Ultimate MMA Fitness and Self Defence Kulai hari ini.

KULAI – Trend kerugian disebabkan aktiviti penipuan dalam talian semakin membimbangkan di negara ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching.

Malah menurutnya, dua pengendali media sosial di bawah Meta iaitu Facebook dan Instagram menjadi platform penipuan dan telah merekodkan kerugian penipuan sehingga RM302 juta dalam tempoh tiga tahun setakat Jun lalu.

Beliau berkata, penipuan melibatkan platform Facebook sahaja melibatkan RM230 juta manakala Instagram pula RM70 juta.

“Kami juga telah mengadakan pertemuan dengan Meta, jadi kami memang hendak buktikan bahawa masalah penipuan ini yang menggunapakai platform mereka memang isu yang serius.

“Menurut rekod, kerugian akibat penipuan melalui Facebook tahun 2021 sebanyak RM80 juta diikuti tahun 2022 ialah RM92 juta dan tahun ini setakat bulan Jun ialah RM60 juta.

“Jika mengikut trend ini, kerugian boleh mencecah RM120 juta sepanjang tahun,” katanya selepas sesi penyampaian cek sumbangan Ultimate MMA Fitness and Self Defence Kulai hari ini.

Menurut Nie Ching, penipuan yang menggunakan platform Instagram pada tahun 2021 sebanyak RM20 juta, tahun 2022 RM25 juta dan tahun ini dari Januari hingga Jun ialah RM25 juta.

Ahli Parlimen Kulai itu memberitahu, Facebook dan Instagram merupakan media sosial paling banyak digunapakai rakyat Malaysia memandangkan ia mudak diakses.

Namun kedua-dua platform itu juga digunakan penjenayah untuk menjalankan aktiviti jenayah penipuan.

“Jadi kami perlu kerjasama dari pihak Meta supaya pengguna di Malaysia ini tidak jadi mangsa. Sebab itu dalam masyuarat pertemuan minggu lalu, kita kongsi maklumat ini dengan mereka.

“Usaha besar perlu dilakukan oleh pihak Meta untuk pastikan pengguna selamat. Dengan statistik ini memperlihatkan trend penipuan dalam talian semakin meningkat, jadi pengguna media sosial itu sendiri perlu ada digital literasi atau kebijaksanaan digital.

“Oleh itu pengguna media sosial juga dinasihatkan jangan mudah percaya dan seterusnya menjadi mangsa. Sekarang ini banyak meminta kita menekan link, buat bayaran kongsi numbor akaun jadi kena berhati-hati.

“Mereka (Meta) janji untuk menambah baik usaha daripada segi ini dan kita nampak usaha ini. Supaya isu scam tidak menjadi berleluasa kerana ia amat membimbangkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast