logo mahlamah

PETALING JAYA – Seorang bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menceroboh masuk bilik hotel kenalannya yang merupakan isteri orang, bulan lepas.

Ahmad Shahrul Azhar Sofian, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Bekas pemain Perak FA itu, didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki bilik wanita berusia 36 tahun, di sebuah hotel di Kelana Jaya di sini pada 6 petang, 21 Jun.

Pertuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal menawarkan jaminan RM6,000, berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

“Dalam kes ini, mangsa merupakan kenalan tertuduh,” katanya.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Ahmad Shahrul, memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya menanggung isteri yang tidak bekerja serta tujuh anak selain tiada risiko melarikan diri dan tiada rekod kesalahan jenayah lain.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pendakwaan dan menetapkan 18 September ini, untuk sebutan semula kes.

Media melaporkan lelaki itu ditahan selepas dipercayai menceroboh masuk bilik hotel seorang wanita berstatus isteri orang.

Menurut polis, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa yang mengatakan suspek menceroboh bilik hotelnya, sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku sedikit kekecohan. – Bernama