PUTRAJAYA – Dadah sintetik (buatan) kini boleh didapati serendah RM18 di negara ini.
Ketua Pengarah Agendi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, harga itu ditetapkan penjual dadah termasuk kos penghantaran bahan terlarang tersebut.
“Ikut cacatan dadah, ikut keaslian dan ketulenan, ada yang murah, semurah RM18 termasuk kos penghantaran ada direkodkan oleh AADK,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) bilangan satu tahun ini, di Perdana Putra, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas Sutekno, setiap pembayaran bergantung kepada jumlah yang dipesan serta jenis dadah.
Mengulas lanjut, Sukteno berkata, pesanan daripada laman web gelap (dark web) adalah pilihan utama untuk penagih dadah mendapatkan bekalan dadah buat masa kini.
“Pertama adalah melalui laman web (darkweb) yang mereka sendiri tahu dan order dan hantar melalui kurier, penghantaran biasa,” katanya.
Pembelian turut dibuat melalui aplikasi permesejan seperti Telegram dan WhatsApp, tambah beliau.
“Harga lebih kurang macam biasa selain boleh diberi melalui tokan, mereka boleh membuat pemberian melalui pesanan hantar terus ke rumah.
“Ibubapa perlu lihat pakej yang dihantar ke rumah dan tapis pesanan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette