Onn Hafiz Ghazi dalam pertemuannya bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing di ibu negara hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor menerima peruntukan RM3.5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur kawasan pelancongan di negeri itu.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas pertemuannya bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di ibu negara.

“Kerajaan negeri ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Tiong King Sing kerana bersetuju menyalurkan peruntukan itu.

“Johor merupakan sebuah negeri yang mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan. Keunikan Johor diserikan dengan keindahan pulau-pulau, taman-taman negara, warisan budaya dan sejarah, festival-festival ikonik dan syurga makanan.

“Sebagai contoh, daerah Mersing terkenal dengan keindahan pulau-pulaunya, Taman-Taman Negara di Johor yang kaya dengan khazanah alam serta Kampung Sungai Melayu yang boleh dijadikan sebagai kawasan ekopelancongan adalah antara lokasi menarik yang mampu diketengahkan.

“Alhamdulillah, sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa pada April 2022, Johor telah menerima 9.14 juta pelancong dan ia adalah jumlah tertinggi berbanding negara-negara ASEAN yang lain,” jelasnya.

Jelas Onn Hafiz, kerajaan negeri optimis mampu mencapai sasaran ketibaan 10 juta pelancong untuk tahun 2023.

Justeru, menerusi kerjasama dan sokongan pihak MOTAC serta agensi berkaitan, misi menjadikan Johor sebagai sebuah destinasi pelancongan utama negara mampu direalisasikan. – MalaysiaGazette