BUTTERWORTH – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan seorang guru lelaki dikatakan menggigit beberapa muridnya sehingga menyebabkan mental pelajar terganggu.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, pihaknya memandang serius berhubung perkara tersebut dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti kejadian sebenar.
Jelas beliau, sekiranya guru terbabit didapati bersalah, KPM tidak akan berkompromi dan tindakan sewajarnya akan diambil.
“Kita telah mengenal pasti hantaran salah seorang ibu mangsa berkaitan isu berkenaan di media sosial semalam.
“Insiden itu tidak sepatutnya berlaku dan siasatan akan dijalankan bagi memastikan sama ada ia benar atau tidak,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Jaya, Butterworth hari ini.
Terdahulu tular, hantaran seorang wanita di Facebook mendakwa anak lelakinya trauma untuk ke sekolah susulan sering digigit seorang guru.
Wanita itu mendakwa cikgu lelaki tersebut mengigit telinga, hidung serta bibir anaknya hingga membuatkan kanak-kanak turut menggesa keluarganya untuk menukarnya ke sekolah lain.
Pada lawatan itu, Hui Ying mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaik taraf dan penyelenggaraan sekolah terbabit.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang turut menyumbangkan RM200,000 bagi pemasangan alat pendingin hawa di bilik guru sekolah itu.
Sementara itu, mengulas mengenai insiden pelajar yang didakwa menjadi mangsa buli sebelum mencekik adiknya, Hui Ying berkata, KPM sedang menjalankan siasatan sewajarnya berhubung kes buli tersebut.
“Semua ini (buli dan keganasan) kita tidak pernah berkompromi yang kita sekarang menunggu keputusan untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette