hidup Najib
Najib Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada prosiding rayuan saman sivil berkaitan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas esok.

Ia merupakan rayuan Najib terhadap permohonannya untuk melucutkan kelayakan firma guaman Tommy Thomas.

Pada tahun lepas, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu atas alasan Peguam Negara mempunyai kekebalan disaman dan ia tidak boleh diadili di Mahkamah Rayuan.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan Najib untuk hadir secara fizikal pagi pendengaran rayuan tersebut.

Peguam mewakili Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memohon Najib hadir pada prosiding esok kerana ia penting bagi pasukannya mendapatkan arahannya dalam kes ini.

Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang berikutan sabitan atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kes SRC International Sdn. Bhd. akan dibawa ke Mahkamah Rayuan bagi mengikuti prosiding tersebut secara fizikal.

Pada 19 Ogos lepas Mahkamah Tinggi memutuskan dua peguam dari Tetuan Tommy Thomas mewakili bekas Peguam Negara itu dalam tuntutan saman RM1.9 juta yang dikemukakan Najib.

Hakim Datuk Ahmad Bache ketika itu menolak permohonan Najib agar Alan Adrian Gomez dan Mervin Lai Wei Shiung yang juga rakan kongsi firma guaman digugurkan daripada mewakili Tommy.

Najib yang memfailkan saman itu pada 22 Oktober 2021 mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Tommy dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Ini membabitkan 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.

Beliau mendakwa, pada 2015 Tommy bertemu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib mendakwa, Tommy turut menasihati Dr. Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap beliau berhubung penglibatannya dalam 1MDB. – MalaysiaGazette