Bekas pemain bola bersama dua lagi rakannya disambung reman tujuh hari lagi.

PONTIAN – Seorang bekas pemain bola dan rakannya yang ditahan polis selepas dikatakan terbabit kes pecah rumah pada minggu lalu disambung reman selama tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, lanjutan reman terhadap dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Pontian hari ini.

Kedua-dua suspek termasuk bekas pemain bola itu disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Manakala reman ke atas seorang lagi suspek yang kini menerima rawatan akan dimohon di Hospital Pontian. Suspek difahamkan akan keluar wad pada petang ini,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek berusia 28 hingga 33 tahun itu sebelum ini direman bermula 4 Julai hingga hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang bekas pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas terbabit kes pecah rumah dalam kejadian di Benut pada 3 Julai lalu.

Lelaki itu diberkas polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.

Bekas pemain bola sepak itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di selatan dan utara tanah air.

Kali terakhir beliau beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air sebelum menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.-MalaysiaGazette