Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini sekali lagi menangguhkan prosiding bela diri kes rasuah yang membabitkan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Ab Samad kepada 13 September depan.

Sepatutnya prosiding bela diri pasangan tersebut selama empat hari di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob berlangsung hari ini.

Penangguhan dilakukan selepas mahkamah dimaklumkan pasangan tersebut telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu.

Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan permohonan semakan pasangan suami isteri itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.

Mahkamah Tinggi menolak permohon untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tuduhan rasuah tahun lepas.

Tiga panel hakim yang bersidang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara bahawa Mahkamah Tinggi bertanggungjawab untuk mempertimbangkan merit kes itu.

Pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob telah memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast