KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan semakin terdesak untuk kekal relevan apabila mendakwa Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dr Mahathir telah hilang pengaruhnya selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Beliau hilang wang deposit di (kerusi Parlimen Langkawi). Saya tidak fikir kita patut mengambil serius tentang (kenyataan) beliau.
“Sudah tentu, ini merupakan usaha terdesaknya yang terakhir untuk kelihatan relevan. Saya akan jadikan beliau tidak relevan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2023, di sini, hari ini.
Anwar menjawab soalan daripada moderator yang juga bekas Presiden Badan Peguam, Christopher Leong mengenai sama ada kenyataan Dr Mahathir itu memberi kesan terhadap rakyat Malaysia.
Dalam kenyataan pada 3 Julai lalu, Dr Mahathir berkata, tindakan mempromosi negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dr Mahathir turut menafikan dakwaan bahawa tindakannya membangkitkan isu-isu berkaitan orang Melayu sebagai berunsur perkauman.
Perdana Menteri memberitahu, sebagai seorang Melayu, beliau menghormati budaya, tradisi, raja dan bahasa Melayu.
Namun, beliau berkata, perkara itu tidak bermakna beliau perlu bersikap perkauman dan menafikan hak kaum lain.
“Kita terperangkap dalam isu negara ini milik siapa,” jelasnya. – MalaysiaGazette