LABIS – Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan di jalan Segamat-Labis berhampiran Felda Redong pada semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hafifie Md Sarif berkata, mangsa yang berusia 75 taun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai insiden tersebut pada jam 1.30 petang menghantara sebuah jentera FRT dan sebuah jentera EMRS dari BBP Labis dengan kekuatan seramai 10 anggota.

“Setibanya pasukan bomba ke lokasi, didapati kemalangan berkenaan melibatkan tiga kenderaan jenis Perodua Myvi, Toyota Hilux dan Proton Persona.

“Pihak kami juga mendapati seorang lelaki warga emas dalam kenderaan Perodua Myvi telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital Segamat.

“Mangsa di kenderaan Toyota Hilux iaitu dua lelaki serta dua wanita dan seorang lelaki bagi kenderaan Proton Persona pula didapati tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Muhammad Hafifie, mayat mangsa yang meninggal dunia itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette