KUALA LUMPUR – Rumah banglo itu bukan milik saya, jelas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Penafian itu dibuat Muhammad Sanusi ketika dakwaan beliau memiliki sebuah rumah banglo di Sik seperti yang ditularkan menerusi media sosial.
Beliau turut menjelaskan rumah berkenaan adalah milik abangnya, yang dikenali sebagai Budin.
“Orang Sik rata-ratanya tahu rumah itu rumah Budin bukan Sanusi. Sebagai adik, saya tahu abang saya sudah lama bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya.
“Dia seorang yang berhati cekal, kuat kerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup. Dia juga bijak menguruskan wang dan membeli harta. Saya sendiri kagum dengan pengorbanan dan kesanggupannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, rumah berkenaan dibina abang yang bekerja sebagai penyelam dasar laut.
“Mengapa jadikan dia mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri.
“Apa salah dia kepada kalian hingga tidak berkira kira langsung menyebar fitnah sedangkan kalin tidak kenal pun siapa pemilik rumah itu? Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan saya, dilahirkan sebagai abang saya.
“Adakah kerana dia abang saya, dia tidak boleh bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu?” soalnya.
Muhammad Sanusi berkata demikian mengulas mengenai sekeping foto yang menunjukkan sebuah banglo lengkap dengan imej Google Map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan dirinya.
“Ia tidak benar dan semata-mata fitnah. Pemfitnah ini bekerja keras menjelang Pilihan Raya Negeri untuk mempengaruhi orang ramai percaya saya kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu,” katanya. – MalaysiaGazette
Jumpa harta karun kat dasar laut kaa? Bukan main kaya raya lagi