Dua mayat lelaki bertatu dibungkus dalam kanvas dipercayai dibunuh sebelum dibuang dalam kawasan semak di tepi jalan Kampung Ujong Padang, Cheng, Melaka.

MELAKA – Mayat dua lelaki bertatu yang dipercayai dibunuh dan dibuang di kawasan semak Kampung Ujong Padang, Cheng, di sini, pagi semalam tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, setakat ini siasatan mendapati, tiada kemungkinan ia menjurus ke arah itu.

“Setakat ini tiada kaitan dengan kongsi gelap, malah bedah siasat juga belum mengetahui punca kematian.

“Tiada sebarang kesan yang boleh menyebabkan maut pada mayat dan kita masih lagi menunggu ujian kimia untuk mengetahui identiti mangsa,” katanya.

Semalam, media melaporkan penemuan mayat dua lelaki berbungkus dalam kanvas berikat itu ditemukan seorang penghantar barang runcit kira-kira pukul 9 pagi.

Kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mangsa yang disyaki mati sejak dua atau tiga hari lalu dibuang di kawasan semak itu.

Polis bagaimanapun tidak dapat mengesahkan kesan tatu pada badan mangsa boleh dikaitkan dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast