KULAI – Pihak pengurusan Felda perlu memberi penjelasan berhubung isu pelupusan hutang bagi mengelak kekeliruan kepada rakyat khususnya peneroka di negara ini.
Seorang peneroka generasi pertama Felda Taib Andak, Tosrin Jarvanthi, 79, berkata, pelupusan hutang telah dilaksanakan pada tahun 2021.
Ia melibatkan penghapusan lebih 70 peratus hutang peneroka Felda, dakwanya.
Malah pada 31 Disember 2019, penyata pinjaman peneroka telah dikeluarkan pejabat rancangan Felda Taib Andak berhubung isu itu.
“Ini bukti nyata, bukti penyata pelupusan hutang yang dikeluarkan dan diambil di pejabat rancangan Felda. Berdasarkan penyata pinjaman peneroka saya, hutang kebun iaitu tanam semula saya berjumlah RM85,313 bagi tanaman kelapa sawit 10 ekar.
“Bagi kategori hutang sosio ekonomi (pinjaman bayaran rumah, pinjaman komputer, skim usahawan Felda), saya tiada ambil pinjaman jadi tiada jumlah dalam penyata saya.
“Jumlah keseluruhan hutang saya bernilai RM85,313. Hapusan hutang kebun ialah RM76,461.88. Jadi baki hutang saya ialah RM8,851.12,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut Tosrin, penghapusan hutang dilaksanakan pada tahun kewangan 2021 dan tertakluk kepada peneroka yang menandatangani perjanjian pengurusan kebun dan yang menjual hasil kebun terus kepada Felda.
“Pada November 2021, baki hutang saya telah ditolak dengan potongan RM463,” katanya lagi.
Menurut Tosrin, sejak menjadi peneroka pada 1979, ini adalah kali pertama peneroka Felda diberi penyata yang lengkap.
Menerusi penghapusan hutang itu, baki hutang dan bayaran balik setiap peneroka tidak sama, katanya.
“Saya tampil sebagai peneroka Felda yang mahu membetulkan apa yang diperkatakan tentang hutang peneroka Felda ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
“Semenjak saya menjadi peneroka pada tahun 1979, itulah kali pertama saya lalui detik bersejarah hutang peneroka Felda dihapuskan.
“Malah saya sendiri pergi ke pejabat pengurusan Felda Taib Andak untuk mengambil penyata pinjaman peneroka dan perkara itu terbukti benar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pentadbir Ladang Felda Taib Andak, Hairolnizam Kusnin, 38, pula berkata, sebagai wakil generasi kedua, isu seperti itu diambil berat oleh peneroka.
“Saya keliru dengan kenyataan isu pelupusan Felda baru-baru ini kerana kami telah membayar baki hutang selepas pelupusan dibuat sebanyak lebih kurang RM400 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas isu pelupusan hutan Felda yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengundang isu dalam kalangan warga Felda.
Menurut Hairolnizam, sebelum pelupusan hutang dibuat, peneroka atau wakil perlu membayar RM800 hingga RM1,500 berdasarkan keluasan tanaman.
“Pihak pengurusan besar Felda perlu bersuara, jika terus berdiam pasti akan menimbulkan salah faham dalam kalangan peneroka sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette