Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas membuat lawatan kerja mengenai isu harga barang ketika di Econsave Setapak Central, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN 11 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang kenaikan harga barang melampau sehingga hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jaminan itu berdasarkan libat urus yang diadakan bersama pemain industri di kementeriannya baru-baru ini.

“Berdasarkan libat urus yang kita dah panggil 30 industri di kementerian minggu lepas, mereka semacam memberikan kata sepakat tidak mungkin berlaku kenaikan yang melampau.

“Kalau adapun kita akan runding kembali dengan kerajaan untuk kita lihat semula harga-harga tersebut,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan harga barang di sebuah pasaraya besar di Danau Kota, di sini, hari ini.

Beliau ditanya sama ada berlaku kenaikan harga barang yang ketara pada masa akan datang setelah terdapat rungutan daripada rakyat apabila mendakwa berlaku kenaikan harga barang di pasaran secara mendadak ketika ini.

Dalam pada itu, Salahuddin menafikan dakwaan akan berlakunya kenaikan harga barang pada Ogos sebagaimana yang digembar gemburkan.

“Tidak ada di dunia ini ada negara yang mengawal semua harga barang…tidak ada.

“Yang ada adalah kerajaan yang bertangungjawab mengawal barang asas rakyat…itu yang kita buat termasuk Malaysia.

“Jadi, untuk berlakunya El Nino ataupun apa fenomena (seperti) banjir besar, gunung berapi meletup, itu akan kita pastikan pada masa itu berlaku dan kerajaan akan mengambil tindakan terhadap apa-apa yang berlaku,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) dipetik berkata, harga barangan pengguna dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Presidennya, Nivas Ragavan berkata, pihaknya mengesan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu.

Katanya, peningkatan kos itu ekoran kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga mendorong berlaku inflasi import pada kadar tinggi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast