NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta bagi penyelenggaraan, ubah suai dan naik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini yang memohon sekolah bantuan Kerajaan (SBK).
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, sebanyak 74 daripada 81 buah SJKC di negeri ini telah memohon peruntukan penyelenggaraan bagi tahun ini.
Jelas beliau, pihaknya akan memastikan sekurang-kurang RM50,000 diperuntukan kepada 74 buah SJKC itu bagi tujuan berkenaan.
“KPM sentiasa mengambil berat tentang kebajikan sekolah-sekolah yang memerlukan dana untuk projek-projek naik taraf di sekolah demi keselamatan dan keselesaan pelajar.
“Tidak kira SJKT atau SJKC, sekolah yang telah membuat permohonan akan mendapat sekurang-kurangnya RM50,000 dan mungkin dalam masa satu minggu atau dua minggu lagi jumlah ia akan disalurkan kepada lembaga pengelola sekolah.
“Kita percaya usaha dan kerjasama berterusan ini akan mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pertumbuhan yang lebih baik untuk setiap guru dan pelajar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke SJKC Pai Teik, di sini, hari ini.
Terdahulu, Hui Ying mengadakan lawatan di SJKC Chong Kuang, SJKC Kampung Jawi dan SJKT Nibong Tebal.
Menerusi lawatan di empat buah sekolah itu, Hui Ying memperuntukan RM670,000 bagi tujuan penyelenggaraan sekolah.
Antara yang akan diselenggara termasuk tandas, bumbung sekolah dan lain-lain. – MalaysiaGazette