Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR- Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan terdiri daripada projek nasional bernilai RM25 bilion untuk menyokong pembaharuan struktur ekonomi negara.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata 10 projek peralihan tenaga perdana pertama negara yang akan dibangunkan dengan penyertaan sektor swasta bakal diumumkan pada 27 Julai ini.

Beliau berkata, sejak pandemik, pelaburan dalam projek peralihan tenaga menguasai landskap pelaburan global, justeru, beliau yakin komitmen kerajaan terhadap pembaharuan struktur jangka panjang akan menarik semula aliran masuk pelaburan ke dalam negara dan seterusnya menambah baik prestasi ringgit.

“Apa yang boleh kita lakukan dari segi kekuatan ringgit ialah memastikan ekonomi kita keluar daripada situasi sekarang kepada suasana yang lebih progresif, lebih bernilai tinggi kerana ia adalah naratif pertumbuhan yang portfolio asing akan berminat.

“Dan jika kita dapat melakukan ini, pelaburan akan masuk ke pasaran modal kita, sama ada bon atau ekuiti dan itu akan menampan ringgit daripada perbezaan kadar faedah kita sekarang,” katanya kepada pemberita selepas acara Persidangan Undang-Undang Malaysia, di sini, hari ini.

Rafizi berkata kebanyakan daripada dasar ini akan mengambil sedikit masa untuk difahami oleh orang ramai, namun industri mengetahui bahawa pelabur sedang menunggu untuk melihat sepantas mana syarikat Malaysia boleh beralih kepada ekonomi hijau.

Oleh itu, katanya, kerajaan sedang dalam usaha untuk membangunkan dasar bagi menyokong industri peralihan tenaga di negara ini.

“Ini adalah perkara yang ditumpukan oleh kerajaan untuk menyelaraskan semula ekonomi dan syarikat kita kepada perkara yang boleh menarik pelaburan asing ke dalam syarikat mereka dengan membeli saham mereka kerana sejak lima hingga enam tahun lepas, tidak ada naratif pertumbuhan yang menarik yang boleh ditawarkan oleh syarikat kita,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau percaya Malaysia berada berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan mampan.

— BERNAMA