KUANTAN – Tourism Pahang dengan kerjasama Tourism Malaysia Singapura menganjurkan Lawatan Familiarisasi (Fam Trip) Singapura-Pahang 2023 selama lima hari di empat daerah sebagai usaha mempromosikan negeri ini, bermula semalam.
Exco Perpaduan, Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man berkata, seramai 20 orang pengusaha pelancongan dan influencer dari Singapura dijemput mengunjungi destinasi di sini bagi memperkenalkan dan memberi pendedahan berkaitan produk-produk pelancongan baharu dan sedia ada.
“Lawatan familiarisasi ini akan melibatkan destinasi-destinasi pelancongan di empat daerah di Negeri Pahang iaitu Rompin, Kuantan, Temerloh dan Bera diadakan bermula 10 sehingga 14 Julai.
“Destinasi pelancongan yang akan dikunjungi ini melibatkan beberapa kategori kluster pelancongan iaitu alam semulajadi, pulau dan pantai, pelancongan budaya, pelancongan homestay, city tourism dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jelas Yu Man, pemilihan destinasi-destinasi pelancongan dalam lawatan familiarisasi itu dipilih berdasarkan tahap kebolehpasaran yang tinggi serta mengambil kira kemudahan fasiliti yang memuaskan di setiap destinasi dan kawasan sekitarnya.
Antara destinasi-destinasi pelancongan yang akan dikunjungi ialah Taman Negeri Rompin, Teluk Cempedak, Serambi Teruntum, Kuantan 188, Kuantan Art Street, Sungai Lembing, Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Kampungstay Desa Mumi Temerloh, Rinchen Jangsem Ling Buddhist Retreat Centre, Tasek Bera dan Pulau Tioman.
Selain itu, katanya, lawatan familirisasi ini juga akan memberi keyakinan dan sokongan kepada 20 pengusaha-pengusaha hotel dan agensi pelancongan Pahang yang turut mengambil bahagian dalam usaha untuk memasarkan negeri itu ke pasaran Singapura dan global menerusi padanan perniagaan bersama pengusaha pelancongan.
Pada tahun lalu, seramai 116,220 pelancong Singapura mengunjungi Pahang dan bagi tiga bulan pertama seramai 219,869 warga negara itu datang ke Pahang. – MalaysiaGazette