KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,061 saman direkodkan atas pelbagai kesalahan terutama menghalang laluan pejalan kaki bagi kawasan Brickfields di sini, dalam tempoh lapan hari bermula 3 Julai lalu sehingga semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, masih terdapat segelintir warga kota yang sempurna fizikal tidak cakna, malah tidak menghormati terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) terutamanya kemudahan khas seperti laluan pejalan kaki yang sudah diberikan kerajaan buat golongan tersebut.
“Saya perasan mereka susah untuk menjalani hari-hari biasa sekiranya orang yang sempurna tidak menghormati hak laluan pejalan kaki OKU, tambah pula ada kereta diparkir di atas laluan mereka.
“Bayangkan juga ada motosikal dalam keadaan ekzos yang masih panas diparkir di laluan orang buta, keadaan itu akan menyebabkan mereka cedera sekali gus memberi kesukaran kepada OKU,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shuhaily menyantuni golongan OKU penglihatan dengan menggunakan tongkat dan merasai pengalaman berjalan melalui laluan ‘tactiles’ di sekitar Jalan Tun Sambathan, di ibu negara hari ini.
Ditanya apakah hukuman terhadap pesalah ini, beliau berkata, mereka boleh disaman dan kenderaan disita. – MalaysiaGazette