menghendap banduan hukuman mati bunuh diri Azalina jawatan
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menyediakan dokumen pembentangan berkaitan lapan cadangan pindaan untuk dipersembahkan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan diadakan setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dokumen itu adalah berkaitan keseluruhan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan bersama Jadual Pertama dan Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan meliputi isu kewarganegaraan kanak-kanak dilahirkan di luar negara kepada ibu yang berwarganegara Malaysia.

Katanya, sebarang cadangan pindaan terhadap Bahagian III Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan perkara kewarganegaraan hendaklah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) selaras dengan kehendak peruntukan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan pindaan kepada Bahagian III Perlembagaan Persekutuan ini turut memerlukan persetujuan TYT (Tuan Yang Terutama) Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak selaras dengan Perkara 161E(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dalam hal pindaan yang menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan Negeri Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara orang yang lahir dan bermastautin di Negeri-Negeri Borneo dengan orang yang lahir di Negeri-Negeri Melayu.

“Kerajaan memberi jaminan untuk memelihara kepentingan hak-hak wanita atau ibu warganegara Malaysia dan juga anak-anak mereka.

“Pindaan ini memberi peluang kesamarataan jantina kepada warganegara Malaysia untuk memperolehi kewarganegaraan anaknya yang lahir di luar negara di bawah Perlembagaan
Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Azalina, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keseluruhan Jemaah Menteri komited dalam membentangkan cadangan pindaan yang adil dan wajar mengambilkira pandangan daripada semua pihak berkepentingan serta suara rakyat.

Ujarnya, kerajaan mendengar dan mengambil maklum semua pandangan, cadangan dan maklumbalas yang diterima dari rakyat dan badan serta Pesuruhjaya Kanak-Kanak Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berhubung perkara tersebut.

Jelasnya, cadangan pindaan berkenaan telah dikenalpasti dan ia berdasarkan kepada dapatan melalui analisis kajian, sesi libat urus, kajian perbandingan perundangan negara-negara lain serta perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet dan Jawatankuasa Teknikal Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan Berhubung Perkara Kewarganegaraan. – MalaysiaGazette