Sanusi rasuah
Anthony Loke

KUALA LUMPUR – DAP mencabar Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan masyarakat bukan Islam paling ramai ditangkap kerana memberi dan menerima rasuah.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, Menteri Besar Kedah itu patut memohon maaf secara terbuka sekiranya gagal memberi bukti.

“Di mana faktanya? Fakta berdasarkan kajian apa?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhammad Sanusi membuat dakwaan tersebut dalam program bual bicara Keluar Sekejap bersama bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang disiarkan secara dalam talian malam tadi.

Sambil mempertahankan mengapa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera sebagai punca gejala rasuah di negara ini, Muhammad Sanusi turut menuding jari kepada DAP yang mula memainkan naratif bahawa pemimpin Melayu terbabit rasuah.

Anthony menegaskan, DAP mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab oleh Muhammad Sanusi itu.

“Kenyataan semberono seperti ini bukan sahaja tidak berasas malah menimbulkan perasaan kebencian antara kaum dalam masyarakat majmuk kita,” jelasnya.

Ahli Parlimen Seremban itu memberitahu, gejala rasuah perlu diperangi secara bersama dan setiap orang yang terlibat dalam rasuah adalah salah tidak mengira latar belakang kaumnya.

“Rasuah tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana kaum sama sekali. Salah tetap salah tak kira siapa,” katanya.

Anthony berkata, kenyataan berulangan itu membuktikan bahawa PN adalah perosak keharmonian kaum di Malaysia dan perlu ditolak oleh masyarakat majmuk demi perpaduan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast